Fungsi JKKK

JAWATANKUASA KEMAJUAN DAN KESELAMATAN KOMUNITI (JKKK)
__________________________________________________________________________________


JKKK sebagai Badan Penghubung antara Orang-orang Kampung dengan Kerajaan

Kerajaan akan sentiasa menggunakan JKKK dalam usaha menyampaikan nikmat kemajuan kepada penduduk luar bandar. Dalam pentadbiran sehari-hari, melalui Penghulu dan Pejabat Daerah, JKKK diharapkan menjadi orang tengah dalam mewujudkan perhubungan dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Sistem pentadbiran kerajaan adalah suatu sistem yang tersusun, oleh yang demikian JKKK hendaklah menggunakan saluran yang telah ditentukan dalam membuat hubungan dengan kerajaan.

Masalah-masalah berbangkit hendaklah disalurkan melalui Penghulu (Jawatankuasa Penyelarasan Kemajuan dan Keselamatan Mukim) dan dibentangkan oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) dalam Jawatankuasa Kerja Kemajuan Daerah di mana Wakil-wakil Rakyat dan Ketua-ketua Jabatan atau agensi akan membincangkannya dan mengambil tindakan selanjutnya.


Fungsi JKKK

JKKK bergading bahu dengan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memastikan kawasan setempat tidak terpinggir dari arus pembangunan dan keselamatan kawasan sekitarnya sentiasa terpelihara dari sebarang bentuk ancaman.

JKKK tidak harus dipisahkan dengan ADUN kerana ADUN mempunyai kuasa dan kelebihan dalam mengendalikan urusan dengan kerajaan pemerintah.

Penubuhan JKKK termaktub dalam arahan nombor 3, "Rancangan Pembangunan Negara dan Luar Bandar " yang dilancarkan pada tahun 1962 oleh Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussein (Perdana Menteri Malaysia ke 2).

JKKK merupakan satu organisasi yang dilantik oleh kerajaan bagi memimpin dan mengatur masyarakat komuniti ke arah mencapai kemajuan dan kesempurnaan hidup selaras dengan pembangunan yang dicapai oleh Negara.

Oleh itu, JKKK seharusnya bertindak sebagai satu agen penggerak dan pendorong kepada penyatuan dan perpaduan masyarakat kampong melalui program-program pembangunan dan juga hal-hal berkaitan kehidupan setempat.

JKKK terletak dibawah Pejabat Daerah dan dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Masyarakat.

JKKK tertakluk dibawah kuasa penghulu mukim setempat dan diterajui oleh seorang Pengerusi JKKK.

JKKK terdiri daripada 15 ahli seperti berikut :
Seorang Pengerusi
Seorang Setiausaha
13 ahli biasa

Sebuah organisasi JKKK mempunyai beberapa Jawatan kuasa kecil yang dikenali sebagai biro untuk memastikan organisasi ini dapat ditadbir dengan lancar dan berkesan.

Biro-biro tersebut adalah:
1) Jawatan Kuasa Kecil Kebajikan
2) Jawatan Kuasa Kecil Pendidikan
3) Jawatan Kuasa Kecil Pertanian
4) Jawatan Kuasa Kecil Perindustrian dan Pelancongan
5) Jawatan Kuasa Kecil Keagamaan
6) Jawatan Kuasa Kecil Infrastruktur dan Kemudahan Awam
7) Jawatan Kuasa Kecil Belia, Kebudayaan Dan Sukan
8) Jawatan Kuasa Kecil Keselamatan


Tugas-tugas dan Tanggungjawab JKKK:

Merancang projek-projek pembangunan masyarakat yang boleh meningkatkan taraf hidup sosio ekonomi penduduk setempat.

Merancang projek-projek pembangunan yang manakah harus diberi keutamaan, terutama projek yang boleh dilaksanakan berasingan.

Melaksanakan projek-projek yang diluluskan dengan bantuan samada secara gotong royong, kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta atau NGO. ( Tidak termasuk projek oleh agensi pelaksana seperti JKR, TNB, PBT dan lain-lain)

Menjadi pengantara antara penduduk komuniti dengan pihak kerajaan, swasta, NGO dan lain-lain.

Bertanggunjawab bersama pihak kerajaan, swasta dan NGO untuk menilai projek-projek pembangunan yang dijalankan termasuk dari segi aspek prestasi, kesan-kesan dan kewajaran projek tersebut. Seterusnya mereka akan membuat susulan, aduan dan tindakan yang perlu.

Membuat peraturan-peraturan yang sesuai untuk perlantikan JKKK dan ahli jawatankuasa kecilnya.

Menyediakan profil kampong, mengemaskini bilik gerakan, mengemas kini bahan-bahan berekod, seperti minit-minit mesyuarat, surat-surat perjanjian, buku akaun-akaun yang berkaitan, surat-surat permohonan, resit-resit sumbangan dan lain-lain.

Melaksanakan segala aktiviti yang difikirkan sesuai untuk pembangunan dan keceriaan setempat.

Mengadakan siri mesyuarat untuk menilai prestasi komuniti dan tindakan susulan yang perlu dibuat. (sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan)

Mengundang mereka yang difikirkan, seorang yang ahli dan pakar dalam sesuatu bidang untuk memberi nasihat dan panduan dalam mana-mana mesyuarat Jawatan kuasa.

Sentiasa mengambil berat tentang apa jua perkara yang difikirkan boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan kampung seperti pecah rumah, penagihan dadah, pendatang tanpa izin, penyeludupan, wabak penyakit dan lain-lain.